ditulis oleh :ZAKARIA
Pengkid adalah bahasa slanga di negara kita Malaysia yang membawa makna seorang wanita yang berpenampilan seperti lelaki dari segi tingkahlaku,pemakaian,percakapan bahkan kebanyakan lebih berminat kepada kaum sejenis.Dalam erti kata mudah mereka adalah kumpulan wanita yang ingin menjadi lelaki.Menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling,Dekan Fakulti Sastera dan Sains Teknologi Universiti Malaya,golongan pengkid terdiri daripada kumpulan manusia yang melepaskan diri daripada tanggungjawab agama dan bertunjangkan nafsu serakah semata-mata.Mereka terpengaruh dengan gerakan kebebasan hak manusia sedunia yang dipelopori oleh negara Eropah,Australia,dan Singapura yang menggalakan hubungan homoseksual.
Gejala pengkid berlaku adalah disebabkan diri sendiri menghadapi masalah kekeliruan mengenai jantina.Golongan ini sanggup menolak fitrah sebagai wanita kerana mereka berasa kewujudan sebagai wanita adalah satu kesilapan besar.Mereka tidak yakin pada diri sendiri sehingga sanggup menganggap diri mereka adalah seorang lelaki walaupun berjantina wanita.Dalam hal ini mereka mula memakai pakaian lelaki demi menunjukan‘kelakian’ mereka.Selain itu,hal ini berlaku adalah disebabkan diri kurang pengetahuan atau didikan mengenai agama.Di dalam syariah islam,adalah haram bagi seseorang lelaki cuba menyerupai wanita dan sebaliknya.Hal ini dijelaskan dengan petikan daripada kitab sahih al-Bukhari iaitu“Allah melaknat lelaki yang cuba menyerupai wanita dan wanita yang cuba menyerupai lelaki (riwayat al-Bukhari)”.Golongan pengkid bertindak berdasarkan nafsu semata-mata tanpa menghiraukan tuntutan dan perintah agama.
Keluarga merupakan faktor penyumbang berlaku masalah ini. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Dalam pusingan kehidupan manusia, seorang bayi akan dilengkapi dengan segala kehendak asas, diasuh dan dibimbing sehingga ke tahap kanak dan remaja. Sekiranya sesebuah keluarga ditakdirkan mempunyai ramai perempuan, ada juga ibu bapa cuba mengubah salah seorang anaknya menjadi seseorang lelaki. Anak- anak tersebut diberi layanan, berpakaian, cara percakapan dan cara berjalan sebagai seorang lelaki. Ibu bapa juga terlalu menggalakkan anak-anak perempuan bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti yang cenderung dilakukan oleh anak- anak lelaki. Jika sejak kecil, anak-anak perempuan disemai dengan ciri-ciri lelaki, maka sifat ini boleh berlarutan sehingga dewasa. Cara didikan yang salah ini akan menyebabkan anak-anak itu mengalami kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza.
Terdapat juga keluarga yang amat mengharapkan anak mereka adalah lelaki. Mereka membeli permainan, pakaian, dan segala barang keperluan untuk bayi lelaki. Apabila bayi yang lahir itu bayi perempuan, mereka tetap menggunakan barangan yang telah disediakan itu. Secara tidak langsung telah mendidik anak perempuan mereka menjadi seorang lelaki.Kesedaran dan pengetahuan tentang isu-isu semasa oleh masyarakat masih lagi rendah. Tidak ramai yang mengetahui maksud sebenar perlakuan homoseksualiti . Masyarakat hanya menyangka gejala ini hanya melibatkan perlakuan sejenis sahaja. Sebenarnya perlakuan homoseksualiti lebih daripada itu. Masyarakat hanya akan menyisihkan sesiapa sahaja yang mereka anggap aneh. Penyisihan ini akan menyebabkan mereka yang aneh tidak memiliki pilihan lain kecuali berkomunikasi sesama mereka. Akhirnya apa yang menjadi aneh kepada masyarakat menjadi gejala sosial yang tidak dapat dibendung. Sepatutnya kita sebagai masyarakat berperanan sebagai agen perubahan untuk membetulkan seseorang yang berperilaku aneh.Selain itu,sikap masyarakat yang hanya mementingkan diri tidak mahu ambil peduli terhadap gejala ini menyebabkan golongan pengkid terus bermaharajalela untuk melakukan apa sahaja.Mereka berasa aman walaupun perbuatan mereka menarik perhatian masyarakat tetapi tiada reaksi masyarakat untuk membanteras gejala ini atau membetulkan keadaan.Ini menyebabkan mereka terus hanyut dan hidup bergelombang dengan dosa.
Faktor persekitaran juga menyebabkan masalah ini berlaku.Antaranya lambakan hiburan dan budaya hedonisme yang disiarkan dalam media massa menjadi salah satu cabang utama lahirnya budaya jijik ini. Kehidupan yang berteraskan material dan kepuasan diri sendiri individu yang dipamerkan dalam televisyen terutamanya, akan menggalakkan budaya pengkid dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.Filem-filem barat yang mengenepikan nilai nilai moral yang bertentangan dengan budaya ketimuran bebas di pasaran memudahkan masyarakat terjebak dalam masalah ini terutamanya golongan remaja. . Mereka yang rapuh iman dan kurang penghayatan dalam agama amat mudah dipengaruhi oleh anasir asing yang jahat tersebut.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka dengan ilmu agama yang mencukupi. Jikalau ibu bapa kurang arif tentang ilmu dan kefahaman terhadap agama Islam, maka hantarlah anak-anak belajar ilmu agama di institusi agama dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa juga harus memantau keadaan anak- anak dari sudut kenalan dan pergaulan mereka di luar. Sebagai pemimpin dalam keluarga, terutama bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengenali ilmu agama.
Sesungguhnya ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Jika dari kecil dididik dengan ilmu dan kefahaman tentang agama, maka jadilah anak kita seseorang yang taat kepada ibu bapa, agama dan negara. Jika individu itu tersebut muslim, banyak perkara yang perlu kita ketahui terutama berhubung agama tersebut kefahaman yang mendalam terhadap agama dapat membendung sikap suka meniru budaya dari Barat yang gemarkan hiburan dan kebebasan yang melampau sehingga melepasi batas pergaulan yang sepatutnya. Akibatnya, lahirlah generasi yang rosak akhlaknya sebagai pewaris masa depan.
Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam membendung gejala ini. . Pihak kerajaan seharusnya melaksanakan pencegahan berdasarkan Al-Quran dan hadis melalui kuliah-kuliah agama. Melalui program-program riadah dan sebagainya, maka perlu diselitkan sedikit unsur-unsur ceramah dan juga nasihat. Apabila manusia mengabaikan perintah dan hukum Allah, Allah juga akan mengabaikan kita. Kesannya, berlakulah fenomena-fenomena seperti sekarang ini.
Kehidupan manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh memberi kesan yang serius termasuklah isu seksualiti. Ini menunjukkan walaupun manusia ini diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah S.W.T., terdapat segelintir manusia seringkali terleka dan melakukan kesilapan demi kesilapan. Dalam memenuhi keperluan bersifat naluri, manusia seringkali terlepas dari kawalan sehingga terjebak dengan gejala-gejala yang negatif yang dilarang oleh agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan