ditulis oleh :AZWAN
Gejala sosial iaitu vandalisme bukanlah sesuatu fenomena yang baru dalam kalangan manusia sejagat. Gejala ini boleh dikatakan berlaku di setiap pelusuk dunia. Kes vandalisme ini merujuk kepada para remaja yang mempunyai nilai moral yang rendah. Menurut Kamus Dewan, vandalisme dapat didefinisikan sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Vandalisme adalah perbuatan yang tidak bermoral dan kurang sihat. Golongan yang terjebak dalam aktiviti ini merupakan para remaja. Antara contoh-contoh vandalisme adalah seperti merosakkan pondok telefon, paip bomba, menconteng dinding-dinding bangunan sekolah, lif, tandas, perhentian bas dan sebagainya. Golongan remaja yang selalunya terlibat dengan masalah ini adalah daripada golongan remaja yang mempunyai tabiat merokok, suka ponteng kelas, menagih dadah, mencuri, melepak dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan perkara-perkara negatif.
Faktor-faktor yang mempengaruhi berlakunya gejala vandalisme ialah pengaruh rakan sebaya. Hal ini demikian kerana sudah menjadi lumrah para remaja yang hidup secara berkelompok dalam satu organisasi sosial. Pergaulan individu bersama sekumpulan remaja yang mempunyai nilai moral yang rendah akan menyebabkan wujudnya gejala sosial negatif seperti vandalisme. Hal ini demikian kerana golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya. Pengaruh yang ditonjolkan oleh rakan sebaya khususnya nilai-nilai negatif akan dapat mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja itu sendiri. Kebanyakan para remaja yang terjerumus ke kancah gejala negatif ini adalah daripada kelompok remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kelompok remaja yang terlibat dalam masalah vandalisme ini terdiri daripada individu yang tidak mempunyai tujuan dan apabila mereka berkumpul di sesuatu kawasan, maka akan timbullah pelbagai idea negatif seperti menconteng dan merosakkan harta benda awam. Contohnya terpapar pelbagai tulisan di dinding-dinding bangunan awam seperti tandas awam yang menggambarkan maksud lucah dan kesat.
Ibu bapa dan keluarga merupakan pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana amalan gaya hidup negatif yang ditonjolkan oleh ibu bapa tanpa disedari akan memberi kesan sampingan terhadap gaya hidup anak-anak remaja mereka. Nilai moral ibu bapa yang rendah seperti amalan membuang sampah ketika memandu kenderaan, membuang sisa-sisa makanan iaitu kulit buah-buahan seperti kulit rambutan dan limau serta tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan di bahu-bahu jalan akan mendorong dan mendidik para remaja untuk melakukannya juga. Namun begitu, masalah keluarga juga merupakan faktor wujudnya gejala vandalisme di dalam diri setiap remaja. Hal ini dapat dibuktikan dengan bebanan masalah kewangan yang dihadapi oleh kelompok keluarga yang berpendapatan rendah yang harus menyara tanggungan isi rumah yang ramai. Kesannya para remaja yang dihimpit oleh masalah kewangan tersebut akan mengalami masalah tekanan yang kuat di dalam diri mereka sehingga memberontak dengan melakukan aktiviti vandalisme untuk melepaskan perasaan serta tekanan yang dihadapi. Hal ini juga berpunca daripada ibu bapa yang kurang memberikan perhatian terhadap anak-anak remaja mereka kerana kesibukan di tempat kerja dan mementingkan kerjaya. Kesannya tiada kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa terhadap anak-anak remaja menyebabkan para remaja tidak mendapat kasih sayang yang cukup oleh ibu bapa sehinggakan para remaja terjebak di dalam gejala negatif ini.
Gejala vandalisme juga adalah berpunca daripada pengaruh media massa itu sendiri. Seperti yang diketahui, peranan media massa adalah untuk menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan isu-isu global kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini menyebabkan media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat terhadap para remaja dan ianya sukar sekali dielakkan dewasa ini. Media massa iaitu media elektronik merupakan penyumbang terbesar kepada para remaja untuk terjebak di dalam gejala vandalisme. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari Barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Hal ini demikian kerana golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut perkara-perkara yang dilihat di sekeliling mereka termasuklah media massa. Adegan-adegan negatif yang dipaparkan oleh media massa adalah berbentuk ganas seperti adegan merosakkan harta benda awam dan menconteng di setiap bangunan-bangunan. Rancangan gusti merupakan salah satu pengaruh negatif kepada para remaja kerana ianya dapat membentuk dan menyemai sikap ganas di dalam diri mereka. Kesannya, mereka akan meniru aksi tersebut pada harta benda awam.
Langkah-langkah bagi membendung gejala vandalisme daripada terus menular dalam kalangan pelajar ialah melalui penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak-pihak berkenaan seperti polis. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9, Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991, sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh dikenakan denda sebanyak RM2000 atau tempoh penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme harus menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti didenda melakukan kerja pembersihan di kawasan awam, membersihkan tandas dan sebagainya. Kerja-kerja ini haruslah dilakukan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah dan para pesalah dikhaskan untuk menggunakan pakaian seragam yang menggambarkan akan pesalah vandalisme. Tindakan yang tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi pengajaran dan teladan kepada setiap individu-individu lain agar menjauhkan diri daripada perbuatan vandalisme. Contohnya, kerajaan Negara Singapura yang menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah-pesalah vandalisme di negara tersebut.
Langkah seterusnya bagi membendung gejala vandalisme daripada terus berleluasa dalam kalangan remaja ialah melalui peranan masyarakat. Hal ini demikian kerana setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dengan memberi perhatian secukupnya kepada anak-anak remaja mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah iaitu vandalisme. Masyarakat juga harus lebih peka terhadap apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu lebih proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan kefahaman akan betapa buruknya akhlak vandalisme kepada para remaja.
Peranan pihak sekolah merupakan langkah bagi mengatasi penularan gejala vandalisme dalam kalangan pelajar sekolah. Hal ini demikian kerana, waktu persekolahan merupakan tempat kepada para pelajar banyak menghabiskan masa dengan proses pembelajaran. Oleh itu, pihak sekolah harus memainkan peranan penting dengan banyak memberikan nasihat dan bimbingan kepada para remaja mengenai kepentingan menjaga harta benda awam. Hal ini demikian kerana generasi muda perlu diterangkan secara mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Contohnya, memberikan tanggapan akan bagaimana perasaan para pelajar sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesannya, kesedaran seumpama itu akan memberi sedikit sebanyak gambaran kepada mereka akan pentingnya nilai sikap dan bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Pihak sekolah perlu mengadakan kempen anti-vandalisme dan menyediakan pelbagai program untuk disertai oleh para pelajar di sekolah. Dengan kerjasama semua pihak, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat dibendung.
Gejala vandalisme merupakan gejala negatif yang berasal dari negara barat. Budaya negatif ini banyak memberikan impak buruk terhadap semua pihak. Gejala ini juga dapat mencemarkan suasana persekitaran kawasan di sekeliling dengan adanya tulisan yang kesat dan harta benda awam yang rosak. Para remaja harus mendidik diri mereka agar membenci perkara sedemikian. Mereka perlu sedar tentang menjaga harta benda awam. Seperti yang sedia maklum, gejala vandalisme ini melibatkan para remaja yang masih bersekolah. Usia para remaja yang masih muda tidak harus diterapkan dengan budaya-budaya negatif seperti ini. Para remaja merupakan tonggak dan asas kepada tampuk kepimpinan pada masa hadapan. Oleh itu, para remaja haruslah dididik dengan baik seperti ‘menatang minyak yang penuh’ oleh semua pihak termasuklah ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan sebaya, para masyarakat dan sebagainya bagi menjamin dan melahirkan para pemimpin yang berkaliber dan mempunyai nilai moral yang tinggi pada masa hadapan. Para remaja merupakan pemuda pemudi harapan bangsa.
perlu ada hukum yg tegas untuk para pelaku vandalisme supaya diharapkan bisa membuat mereka jera
BalasPadam