ditulis oleh AZUDDIN
Kejadian buli di sekolah kian menjadi jadi.Pelbagai kes dilaporkan di dada akhbar dan keadaan ini amat membimbangkan bukan sahaja pihak individu, malah ibu bapa, sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan seterusnya Kementerian Pelajaran, Menurut Kamus Dewan, perkataan buli bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dengan suasana yang baru. Membuli pula bermaksud mempermainkan orang, biasanya orang yang lemah, bertujuan untuk menakutkan orang yang berkenaan. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis iaitu buli secara langsung dan tidak langsung. Buli secara langsung adalah perbuatan diugut, disepak, atau dianiaya. Sementara buli secara tidak langsung ialah perbutan kata-kata termasuklah memanggil atau mengejek-ejek, dikacau dan dikertetawakan orang lain. Hampir semua pelajar berasrama mengetahui kelakuan buli yang selalunya dilakukan oleh pelajar senior terhadap junior. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar terutama ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah berasrama. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentunya mempunyai punca dan langkah-langkah harus diambil.
Antara punca masalah buli dalam kalangan pelajar ialah pengaruh rakan sebaya. Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja lebih mengutamakan rakan sebaya untuk membuat aktiviti harian dalam kehidupan mereka. Disamping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan seorang pembuli, maka pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Sebagai contoh, Muhammad Afiq Qusyairi bin Baharuddin, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah daerah Pahang cedera selepas dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior di sekolah terbabit. Kumpulan pelajar yang membelasah mangsa terbabit adalah disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya akibat daripada sekadar berseronok-seronok tanpa memikirkan risiko yang bakal diterma oleh mangsa, malah risiko yang bakal mereka terima sendiri.
Selain itu,pengaruh media massa juga menjadi salah satu punca berlakunya kes-kes buli. Pihak penerbitan drama atau filem selalu mengeluarkan drama atau filem yang berunsurkan pergaduhan dan berbahaya. Bagi pihak penerbitan,mereka tidak menghiraukan kesan kepada remaja apabila menonton aksi-aksi ganas dan berbahaya seperti pergaduhan, pembunuhan dan buli, tetapi mereka lebih mengutamakan keuntungan mengeluarkan filem tersebut. Tarikan filem berversi ganas dan aksi ini lebih difokuskan kepada penonton remaja. Mereka mudah terpengaruh dengan apa yang ditontoni dan ru segala aksi dan adengan yang ditayangkan tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan mereka. Sambutan hangat oleh penonton-penonton remaja terhadap filem atau drama aksi ini menyebabkan stesen-stesen televisyen berlumba-lumba untuk mengeluarkan dan menyiarkan filem berversi aksi. Paparan filem-filem antarabangsa dan tempatan seperti filem dari Jepun `Crow Zero` dan filem tempatan seperti filem `Buli’, `Gangster’ dan lain-lain. Filem-filem ini akan menyebabkan remaja akan terpengaruh dan akan meniru aksi-aksi yang ganas dan seterusnya akan terlibat dengan kes-kes buli.
Masalah buli dalam kalangan pelajar harus diambil tindakan yang segera dan proaktif. Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah peranan ibu bapa untuk menangani kes buli kerana ibu bapalah merupakan asas permulaan pembentukan peribadi anak-anak. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak-anak, perbuatan ibu bapa sentiasa betul dan patut dicontohi. Ibu bapa juga harus memberikan pendidikan agama kepada individu sejak kecil supaya dapat melahirkan manusia yang bermaruah dan mengamalkan budi pekerti manusia.Disamping itu, mengejarkan kebendaan dalam kehidupan, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka di sekolah. Ibu bapa harus memantau pergerakan anak-ank bagi memastikan mereka tidak bergaul dengan rakan sebaya yang tidak bermoral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah selalu menghubungi cikgu di sekolah untuk mengetahui sikap anak-ank mereka selama 12 jam di sekolah. Justeru, peranan ibu bapa dalam menganangi kes buli, tidak boleh disangkal dan wajar bagi setiap ibu bapa menjadi `role model’ kepada anak-anak.
Selain itu pihak kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan kejadian buli tidak menular dalam kalangan remaja. Langkah drastic yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini adalah antaranya melalui Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah. Pihak ini harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Selain itu, ceramah atau kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhui diri daripada gejala buli. Antaranya dengan mendedahkan undang-undang dan kesan negative terhadap mangsa. Naluri remaja akan merasa gerun apabila didedahkan dengan hukuman seperti sebatan mandatory, penjara, dihantar ke pemulihan dan dibuang sekolah.
Disamping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah ini dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan