ditulis oleh :SALMIZA BT SHAARI
Mengikut kamus dewan, dadah boleh diertikan sebagai ubat-ubatan. Mengikut pendapat lain, dadah adalah sejenis bahan atau campuran bahan kimia psikoaktif yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan adalah dilarang. Pengambilan secara haram meninggalkan kesan ketagihan dan menyebabkan perubahan yang buruk dalam fungsi atau struktur fisiologi organisma. Kimia psikoaktif ini mempunyai kesan yang amat ketara ke atas sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Dadah ialah bahan kimia yang mempunyai ciri-ciri ketagihan iaitu pada penggunaan untuk diri sendiri sama ada ditelan, dikunyah, dihidu, dihisap, atau disuntik.
Gejala sosial dadah semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kini. Faktor mendorong berlakunya gejala ini kerana sikap ibu bapa yang mementingkan kerjaya. Hal ini menyababkan anak-anak merasa kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal ini mempengaruhi gejala ini terus menular dalam kalangan remaja. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa lebih mementingkan kerjaya mereka sehingga alpa akan tanggungjawab mendidik anak-anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. Rakan sebaya turut memainkan peranan penting dalam penglibatan remaja dalam gejala dadah. Remaja sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang sanggup mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibu bapa yang gagal mejalankan tanggungjawab mereka. Jadi, rakan sebaya yang negatif akan mempengaruhi sikap remaja terbabit. Kemunculan media massa turut mendorong gejala ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan menimbulkan rasa untuk mencuba dalam hati remaja. Kebanyakan gejala ini dikatakan satu cubaan meniru artis pujaan mereka yang berlakon dalam drama atau filem. Jadi,sikap ingin mencuba dalam diri remaja tanpa memikirkan baik buruk akibat tindakan yang diambil menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah ini semakin berleluasa.
Kesan penyalahgunaan dadah yang berterusan akan menjejaskan kebersihan dan kesihatan diri. Seseorang penagih dadah akan kelihatan tidak bermaya, pucat, dan akan kehilangan berat badan kerana mereka yang menggunakan dadah tidak akan menghiraukan kebersihan dan pemakanan yang teratur. Contohnya, bagi mereka yang ketagih amfetamin yang berterusan tidak mengambil makanan dan sentiasa bergerak. Meraka biasanya akan keletihan dan mungkin boleh jatuh pengsan kerana kekurangan tenaga. Kesihatan mental penagih juga akan terjejas kerana pengambilan dadah telah merosakkan sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Penggunaan dadah halusinogen seperti mescaline memberi kesan ganjil kepada pengguna seperti perubahan imej tubuh, merasa diri besar, dan melayang-layang, boleh terbang, rasa tenang, riang dan menyebabkan lebih bergantung kepada dadah. Dadah ini mampu mengubah pandangan mata dan menyebabkan ilusi sehingga amat susah untuk membezakan yang benar dan sebaliknya.
Selain itu, penyalahgunaan dadah juga menjejaskan pretasi pelajaran remaja. Dadah perangsang selalunya diambil oleh pelajar supaya mereka dapat belajar dengan tekun kerana dadah jenis ini menyebabkan seseorang lebih suka bercakap dengan yakin dan menjadi lebih besar hati. Penyalahgunaan dadah ini menjadikan seseorang itu mudah keliru dan mudah pitam, selalu mendengar suara-suara yang tidak jelas dan boleh mendapat sakit otak. Selain itu, kesan penyalahgunaan dadah juga menyebabkan berlaku peningkatan kes-kes sosial dan jenayah seperti budaya samseng, kecurian, rompakan , rogol , pembunuhan dan sebagainya. Ini adalah kerana penagih sebenarnya telah mengalami kerosakan otak dan mampu atau sanggup melakukan apa sahaja demi ketagihan mereka kepada dadah . Jadi, langkah-langkah untuk membendung gejala ini perlu dilaksanakan.
Oleh itu, langkah-langkah bagi membendung gejala penyalahgunaan dadah ini perlu diambil bagi mengatasi masalah ini dari terus menjadi barah dalam masyarakat. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dengan mengambil berat tentang anak-anak dan tidak hanya mementingkan urusan kerja semata-mata. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa berkualiti bersama anak-anak setiap hari walaupun hanya 10 minit. 10 minit itu adalah masa yang berharga buat remaja kerana mereka merasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan bagi membendung gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja mengikut Akta Dadah Berbahaya 1995. Pemeriksaan ujian air kencing bagi pelajar sekolah perlu dilakukan secara berkala dengan kerjasama pihak sekolah. Kempen anti dadah juga perlu dilakukan dengan kerjasama media massa iaitu media cetak dan elektronik. Media massa perlu memainkan peranan dengan mengadakan iklan tentang bahayanya penggunaan dadah disamping memaparkan drama-drama atau filem tentang keburukan penggunaan dadah. Media massa memainkan peranan penting bagi membantu membanteras gejala penyalahgunaan dadah kerana remaja masa kini menjadikan media massa sebagai media untuk berhibur dan mendapatkan maklumat.
Kesimpulannya, dadah memberi kesan negatif kepada sistem badan manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding manfaatnya yang sementara. Dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti untuk mengelakkan tekanan belajar, mengelakkan letih, mendapatkan rasa segar dan sebagainya. Racun dadah akan membinasakan saraf manusia dan boleh menyebabkan kematian. Pengambilan dadah memberikan kelegaan yang bersifat sementara dan kesengsaraan yang lama kepada pengambilnya. Sebagai umat Islam melalui Al-Quran kita dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmah yang tersendiri untuk kebaikan umatnya. Oleh itu , jauhilah najis dadah demi keamanan dan kesejahteraan diri serta negara.
salam mintak izin utk guna artikel ini sebagai rujukan ye, terima kasih.
BalasPadam