Kebelakangan ini isu pembuangan bayi ternyata hangat kembali dan sering terpapar di muka hadapan surat khabar ataupun media- media elektronik. Statistik kes ini menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan ini bukanlah sesuatu yang membanggakan. Dahulu ia pernah hangat seketika, kembali senyap tetapi kini semakin menjadi-jadi. Apakah yang anda fahami tentangan isu ini? Pembuangan bayi sebenarnya adalah satu jenayah terjadi akibat kehamilan yang tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka akibat malu dan takut dengan akibat yang bakal ditanggung.Hampir setiap hari kedengaran kes-kes pembuangan bayi yang berlaku di mana-mana di seluruh negara. Paling menyayatkan hati ialah apabila ada bayi yang dibakar di tempat pembuangan sampah atau yang digigit oleh semut merah dalam litupan sampah sarap.Tidak cukup dengan itu, ada juga bayi yang dibuang menjadi makanan kepada burung-burung gagak. Apalah dosa bayi-bayi itu apabila diperlakukan sebegitu. Ini menunjukkan nilai kemanusiaan sememangnya sudah berkurangan dalam diri masyarakat kita hari ini.
Punca –punca utama berlakunya kes pembuangan bayi adalah kerana sikap remaja kini yang banyak tertagih dengan keseronokan duniawi yang seterusnya mengheret mereka ke arah penjalinan hubungan seks rambang dan luar nikah tanpa mengira batas-batas agama. Mereka terlalu mengikut hati ketika membuat sesuatu keputusan. Kebanyakkan kes sedemikian berlaku di kalangan remaja kerana mereka berasa melakukan seks adalah sesuatu permainan yang seronok dan baru kepada mereka. Dalam pemikiran mereka yang telah dikotori memikirkan bahawa jika tidak pernah mencubanya bermakna mereka adalah penakut dan dikatakan sebagai katak di bawah tempurung.
Selain itu, penubuhan pusat-pusat untuk menjaga bayi yang dibuang juga secara tidak langsung menyebabkan kes pembuangan bayi terus berlaku. Ini kerana meraka tidak perlu risau lagi untuk melahirkan anak luar nikah itu kerana kerajaan sudah menyediakan tempat khas untuk menjaga bayi. Seterusnya, ibu bapa yang hanya giat bekerja untuk mencari wang dan kurang mendidik anak dari segi agama juga merupakan salah satu punca utama. Anak-anak yang dibiarkan begitu sahaja tanpa didikan senang melakukan perbuatan seperti ini.
Di samping itu, perbuatan pembuangan bayi menyebabkan banyak kesan-kesan negatif. Antaranya ialah kematian bayi meningkat dari tahun ke tahun. Selain itu, kesihatan ibu juga akan terjejas. Oleh kerana bayi yang dilahir adalah haram, kelahiran tersebut disambut pada tempat yang terpencil dan tidak mempunyai peralatan yang canggih sperti yang terdapat di hospital. Oleh itu, ibu yang melahirkan bayi-bayi haram itu mudah dijangkiti kuman atau kehilangan darah yang terlalu banyak. Ini seterusnya menyebabkan sama ada kematian si ibu atau kedu-duanya.
Kesan yang lain ialah perlaku perbuatan itu akan mempunyai masalah emosi seperti murung, rasa bersalah, resah, gelisah dan hilang keyakinan diri. Ini seterusnya membawa kepada keadaan di mana mereka akan memutuskan hubungan dengan ahli keluarga akibat tidak dapat menghadapi pandangan orang ramai terhadap mereka. Selain kesan psikologi da n social ini, mereka juga akan dikenakan hukuman dari segi undang-undang negara.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa selain menubuhkan pusat khas untuk menjaga bayi terbuang. Kerajaan juga harus menggenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah seperti penjara seumur hidup, sebatan atau setimpalnya agar masyarakat akan memikir dengan teliti sebelum melakukan perbuatan pembuangan bayi. Kesan daripada perbuatan sedemikian seterusnya menyebabkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kezaliman dunia.
Kesimpulannya, pelbagai pihak sama ada kerajaan ataupun masyarakat itu sendiri harus bekerjasama seperti aur dengan tebing bagi mengatasi masalah pembuangan bayi ini agar maruah, nama dan masa depan negara terjamin bagi merealisasikan impian semua warganegara Malaysia iaitu Wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan